BERSEDEKAHLAH... TAK PERLU TUNGGU KAYA

Ramai yang beranggapan sedekah hanya dilakukan dengan harta benda. Ketika zaman Rasulullah SAW, ramai orang miskin dikenali sebagai ahlus suffah iaitu sahabat yang tinggal di Masjid Nabawi kerana mereka tidak mempunyai harta. Namun, mereka tetap boleh bersedekah dengan cara tersendiri berdasarkan hadis.

Dari Abu Dzar, bahawasanya orang-orang bertanya kepada Rasulullah SAW “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah memborong pahala di mana mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka menyedekahkan kelebihan dari harta mereka.



Maka Rasulullah SAW menjawab, “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu yang dapat kalian sedekahkan? Sesungguhnya setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh melakukan perbuatan baik adalah sedekah, mencegah daripada perbuatan mungkar adalah sedekah, bahkan di antara kamu sekalian yang bersetubuh dengan isterinya juga termasuk sedekah”.
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah apakah seorang itu yang melampiaskan nafsu (terhadap isterinya) juga mendatangkan pahala? Beliau menjawab, “Bagaimana pendapatmu jika ia mendatangkan dosa? Demikian sebaliknya bila ia melampiaskan nafsu pada hal yang halal maka ia akan mendapat pahala”.

Berikut antara cara bagi golongan miskin atau kurang berkemampuan untuk bersedekah tanpa modal yang besar.
• Tasbih adalah sedekah, tahmid adalah sedekah, tahlil adalah sedekah, dan takbir adalah sedekah.
• Amar Ma’aruf Nahi Mungkar adalah sedekah.
• Orang yang menggauli isterinya adalah sedekah kerana dengan bersyahwat kepada isterinya maka bererti menjaga kehormatannya, rumah tangganya dan isterinya. Serta, dia juga menjauhi hal-hal yang diharamkan seperti berzina.
• Mendamaikan orang yang berselisih faham adalah sedekah.
• Membantu seseorang adalah sedekah.
• Kalimat yang baik seperti salam, zikir, nasihat atau dakwah adalah sedekah.
• Langkah menuju ke masjid atau tempat solat adalah sedekah.
• Tersenyum kepada sesama saudara Muslim adalah sedekah.
• Menunjukkan kepada orang yang tersesat di perjalanan adalah sedekah.
• Menyenangkan hati sesama insan juga adalah sedekah.

Setiap pemberian sedekah akan diberi ganjaran pahala jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT. Sedekah mengundang kepada rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki.
Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwan: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah SWT kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. Ad-Daruquthni dari Anas R.A.

GANJARAN BERSEDEKAH
• Pahala berlipat kali ganda.
• Dimurahkan rezeki.
• Keberkatan rezeki.
• Ketenangan jiwa.

Related Posts